HIBAH : TAKAFUL atau PELABURAN HARTANAH?

HIBAH dalam istilah ini merujuk kepada penyerahan aset kepada waris setelah seseorang itu meninggal dunia. Ia adalah sebahagian daripada perancangan kewangan bertujuan untuk meringankan beban waris terutama isteri dan anak-anak.

Di sini saya senaraikan 5 sebab kenapa ta

kaful lebih sesuai dijadikan sebagai hibah berbanding pelaburan hartanah.

1 – Tujuan dan Manfaat

Pelaburan mempunyai tujuan dan manfaat yang berbeza dengan takaful. Takaful adalah perlindungan yang merupakan pelengkap kepada pelaburan kerana pelaburan merupakan aset yang mempunyai risiko kewangan.

Tujuan takaful adalah untuk melindungi kewangan apabila berlaku kematian. Ia bermula 30 hari selepas penyertaan dibuat.

Tujuan pelaburan hartanah pula adalah untuk jangka masa panjang seperti perbelanjaan persaraan, pendidikan anak- anak dan lain-lain. Ia tidak akan menjadi hibah dalam jangka masa pendek. Tempoh untuk mendapat untung daripada pelaburan mengambil masa bertahun-tahun.

2 – Harga dan Kos

Untuk memulakan pelaburan hartanah memerlukan kos modal yang tinggi berbanding dengan takaful. Contoh untuk sebuah rumah yang berharga Rm300,000. Memerlukan deposit Rm30k dan sekurang-kurangnya Rm1300 sebulan untuk ansuran bank.

Berbeza dengan takaful, hanya Rm60 sebulan sudah boleh dijadikan sebagai dana perlindungan sebanyak Rm300,000.

3 – Kecairan

Apabila berlaku kematian, proses untuk menuntut harta pusaka mengambil masa yang panjang dan perlu melibatkan persetujuan kesemua ahli waris. Jika melibatkan harta tidak alih, urusan untuk mencairkan dan membahagikan secara adil kepada ahli waris adalah sangat rumit dan mengambil masa yang panjang.

Berbeza dengan takaful, tuntutan boleh dibuat dengan tempoh masa yang singkat berbanding tuntutan harta pusaka. Tuntutan hanya melibatkan penerima hibah dan syarikat takaful tanpa perlu melibatkan ahli waris yang lain.

4 – Pelaburan hartanah tidak ‘creditor proof’

Jika berlaku kematian, bank / penghutang boleh menuntut nilai hartanah si mati sebagai penyelesaian hutang.

Berbeza dengan hibah takaful, pihak lain tidak boleh menuntut hibah sebagai pengganti harta si mati kerana ia adalah hak milik penerima hibah secara mutlak.

5 – Risiko

Pelaburan hartanah mempunyai risiko yang lebih besar berbanding hibah takaful. Risiko kerugian merupakan risiko terbesar dalam pelaburan. Pelabur hartanah perlu mempunyai pegangan tunai yang kukuh untuk memulakan pelaburan sebagai persediaan sebarang kerugian yang berlaku.

Jika mempunyai tunai yang kukuh, apa salahnya pelabur membuat hibah takaful untuk melengkapi pelaburan andainya berlaku kematian. Konsep MRTT dalam takaful boleh menjadi pelengkap kepada pelaburan hartanah.

KESIMPULAN

Membandingkan kelebihan takaful dan pelaburan hartanah seperti membandingan manfaat antara lampu dan kipas. Ia tidak mempunyai manfaat dan tujuan yang sama.

Pelaburan hartanah mempunyai kelebihannya tersendiri berbanding takaful. Pelaburan hartanah merupakan aset yang kekal dan boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

Namun begitu, untuk menjadikan pelaburan hartanah sebagai pengganti kepada hibah takaful bukanlah suatu yang tepat kerana perkara-perkara yang telah disebutkan di atas.

…………………

MUIZ AHMAD

INFAQ CONSULTANCY

About the Author

Muiz Ahmad
Merupakan perunding takaful daripada INFAQ Consultancy. Mempunyai diploma dalam Pengajian Islam dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Islam di UKM. Kini aktif dalam menyebarkan ilmu perancangan kewangan kepada masyarakat.